Sejarah PSS

Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Pauh Jaya ditubuhkan pada 1 Januari 2003 semasa dibawah pentadbiran Pengetua Tuan Haji Samsuddin bin Ayub.
Memandangkan sekolah ini baru dibuka pada awal tahun 2002, dengan seramai 10 orang guru dan 140 orang pelajar, maka terdapat banyak kekurangan kemudahan terutama dari segi kelengkapan perpustakaan seperti rak buku, meja bacaan, buku-buku , bahan-bahan pengajaran, kelengkapan media dan pelbagai lagi.

Menjelang akhir tahun 2002, Pusat Sumber sekolah telah mendapat segala peralatan dan kemudahan perpustakaan termasuk buku-buku dari kontrak kerajaan bagi memulakan operasi Pusat Sumber.

Di waktu itu, PSS dikendalikan sementara oleh Pn. Wan Salwani binti Wan Ibrahim. Setelah organisasi pengurusan sekolah dibentuk semula maka penyelaras Pusat Sumber Sekolah dipertanggungjawabkan kepada Pn. Norzatul Shima binti Abdul Malik pada 2hb Januari 2003 sehinggalah sekarang. Seramai 38 orang Pengawas PSS telah dilantik setelah menjalani tempoh percubaan selama sebulan untuk membantu dalam kerja-kerja pemprosesan bahan bacaan dan susun atur PSS.

PSS yang terletak di aras dua blok A, SMK Pauh Jaya dibuka secara rasmi untuk kegunaan semua pelajar dan guru pada tanggal 16 Jun 2003. Kemudahan fizikal PSS lengkap dengan bilik perpustakaan, bilik media, bilik kerja, bilik BBM dan bilik Audio Visual. PSS dibahagikan kepada beberapa unit dibawahnya seperti Unit Perpustakaan (Bacaan), Unit Media, Unit BBM, Unit ICT dan Multimedia serta Unit Aktiviti & Bacaan Nilam. Seramai 4 orang guru dipertanggungjawabkan ke atas unit-unit tersebut.

Pusat sumber sekarang adalah lebih moden berbanding dengan yang terdahulu. Banyak perubahan yang positif telah diterapkan dalam Pusat Sumber selaras dengan hasrat untuk merealisasikan Pusat Sumber sebagai pusat untuk segala maklumat di sekolah. Pusat sumber telah dilengkapi dengan rak-rak yang dikelaskan mengikut pengelasan buku.

Pusat sumber juga mempunyai komputer untuk kegunaan automasi dan pengurusan Pusat Sumber. Kaunter untuk pengurusan peminjaman dan pemulangan buku juga menggunakan komputer dan sistem automasi yang canggih dan menggunakan pengimbas.

Pada tahun 2003, pakaian seragam pengawas PSS diperkenalkan, dimana pengawas perempuan memakai baju kurung berwarna merah jambu dan kain berwarna maroon. Manakala pengawas lelaki memakai kemeja berwarna merah jambu, berseluar panjang warna maroon dan bertali leher warna biru tua. Dengan pemakaian pakaian seragam ini, pengawas Pusat Sumber lebih dikenali di kalangan pelajar serta dapat menampilkan keyakinan diri mereka.

Tahun 2006 jawatan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) diperkenalkan. Pn. Norzatul Shima Abdul Malik telah dilantik sebagai GPM . GPM bertanggungjawab menguruskan semua hal berkaitan dengan PSS serta NILAM. Pada tahun 2006, PSS telah mendapat sumbangan sistem automasi eKutubkhanah dari Y.B. Datuk Sharif Omar dan mula menjalankan proses automasi bahan menggunakan sistem baru ini.